Wednesday, April 8, 2009

Kepelbagaian Makanan di Melaka

Kekayaan sejarah dan warisan Melaka tidak hanya menunjukkan keunikan budaya dan kumpulan etniknya tetapi juga turut menunjukkan kepelbagaian makanannya. Kepelbagaian budaya dan latar belakang sejarah turut menghasilkan makanan-makanan yang lazat dan paling diminati di rantau ini. Disebabkan keunikan dan kepelbagaian makanan yang terdapat di Melaka, tidak keterlaluan jika dikatakan Melaka merupakan syurga makanan sedap & enak.

Salah satu makanan yang telah menjadi identiti Melaka adalah ikan bakar yang mudah diperolehi di hampir kesemua tempat di Melaka, terutamanya di kawasan pantai sekitar Pernu, Umbai, Serkam, Anjung Batu, Merlimau dan Linggi. Satu lagi masakan Melayu yang sudah sinonim dengan Melaka ialah Asam Pedas Melaka. Selain masakan Melayu, makanan Melaka lain yang terkenal adalah Kari Devil dan Ikan Bakar Berempah yang diperkenalkan oleh kaum Portugis. Masyarakat Cina, India, Baba-Nyonya juga terkenal dengan masakan mereka yang penuh keunikan. Walaupun dikenali sebagai sebuah negeri bersejarah, Melaka masih boleh berbangga dengan keunikan dan kepelbagaian masakannya. Kesemua makanan ini boleh dinikmati di pelbagai jenis restoran, gerai-gerai makan dan kedai kopi di seluruh negeri Melaka.

Bagi mereka yang menggemari ikan bakar selera Melaka bolehlah menikmati kelazatan ikan bakar yang pastinya melazatkan dengan hidangan pelbagai rasa disamping menikmati pemandangan laut yang cantik dengan dialunkan oleh desiran ombak yang mengasyikkan.

Medan Ikan Bakar Serkam terletak berhampiran dengan Masjid Jamek Serkam iaitu 30 km dari Bandar Jasin. Waktu perniagaan bermula daripada pukul 3 petang hingga 2 pagi pada setiap hari. Di medan ikan bakar Serkam ini terdapat gerai yang menjual pelbagai barangan cenderahati dengan harga yang berpatutan.

Medan Ikan Bakar Umbai pula terletak kira-kira 32 km dari Bandar Jasin. Disini terdapat deretan kedai makan di sepanjang persisiran pantai yang menjual pelbagai jenis makanan. Hidangan utama disini adalah ikan bakar yang pastinya menyelerakan jika dimakan dengan hidangan makanan sampingan. Di Medan Ikan Bakar Umbai ini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur bagi menggalakkan kedatangan para pengunjung.

No comments:

Post a Comment