Thursday, April 9, 2009

Pertandingan Liga Bola Sepak Tertutup DUN Serkam


Pertandingan Liga Bola Sepak Tertutup DUN Serkam telah berlangsung bermula daripada 1 Mac 2009 dan akan berakhir pada bulan Ogos 2009 dengan bertemakan "Sukan Untuk Semua".... Pertandingan ini adalah demi merebut Piala YB Tuan Haji Ghazale Bin Muhamad (ADUN Kawasan Serkam). Pertandingan ini diadakan pada setiap hari Sabtu & Ahad bertempat di Padang Bola Sepak Sime Darby Serkam.


Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Serkam


Perarakan yang diadakan sempena dengan sambutan Maulidur Rasul peringkat DUN Serkam pada 4hb April 2009 (Sabtu) dimeriahkan oleh kira-kira 45 kontinjen yang melibatkan lebih kurang 2,500 umat Islam di dalam kawasan DUN Serkam. Perarakan dimulakan dari Sekolah Kebangsaan Serkam dan berakhir di Masjid Kg Seri Minyak, Umbai. Lebih mengujakan, perarakan ini diterajui oleh YB Tuan Hj. Ghazale Bin Muhamad (ADUN Serkam). Senator Datok Akbar Ali (Ahli Dewan Negara), En. Halim Bin Ahmad (Pegawai Daerah Jasin) dan juga beberapa pegawai jabatan kerajaan turut sama memeriahkan majlis yang diadakan.



Tetamu Kehormat, YB Datuk Wira Hj. Ahmad Bin Hamzah turut hadir mengindahkan lagi majlis. Penceramah jemputan, Datuk Wira Rashid Reza Bin Mohd Saleh (Mufti Negeri Melaka) pula memaknakan majlis dengan menyampaikan ceramah sempena sambutan kelahiran Sirah Junjungan Nabi Muhammad S.A.W...


Sumbangan berupa makanan diberikan kepada beberapa buah keluarga fakir dalam DUN Serkam dan sebuah keluarga yang menjadi mangsa rumah terbakar juga diberikan sumbangan berupa wang ringgit berjumlah RM6,000.00 daripada Tabung Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Jasin.

Perbarisan dan Sepanduk turut dinilai dalam perarakan yang diadakan. Pertandingan pula terbahagi kepada 3 kategori. Kemeriahan majlis terasa semakin hangat saat keputusan pertandingan diumumkan oleh Tuan Hj. Seman Bin Derus (Pengadil Pertandingan). Pastinya ukiran senyuman yang manis diorak oleh para pemenang setelah bersungguh-sungguh berlatih untuk perbarisan dan mengolah idea mencipta sepanduk terindah demi menjayakan majlis untuk meraikan kekasih tercinta Umat Islam, Nabi Muhammad S.A.W...



Sekalung tahniah diucapkan kepada penganjur majlis & tahniah juga buat kumpulan-kumpulan yang telah memenangi pertandingan Perbarisan & Sepanduk Terbaik...



Juruacara majlis dan Juru Audio Visual daripada Pejabat Penerangan Daerah Jasin...

Wednesday, April 8, 2009

Kepelbagaian Makanan di Melaka

Kekayaan sejarah dan warisan Melaka tidak hanya menunjukkan keunikan budaya dan kumpulan etniknya tetapi juga turut menunjukkan kepelbagaian makanannya. Kepelbagaian budaya dan latar belakang sejarah turut menghasilkan makanan-makanan yang lazat dan paling diminati di rantau ini. Disebabkan keunikan dan kepelbagaian makanan yang terdapat di Melaka, tidak keterlaluan jika dikatakan Melaka merupakan syurga makanan sedap & enak.

Salah satu makanan yang telah menjadi identiti Melaka adalah ikan bakar yang mudah diperolehi di hampir kesemua tempat di Melaka, terutamanya di kawasan pantai sekitar Pernu, Umbai, Serkam, Anjung Batu, Merlimau dan Linggi. Satu lagi masakan Melayu yang sudah sinonim dengan Melaka ialah Asam Pedas Melaka. Selain masakan Melayu, makanan Melaka lain yang terkenal adalah Kari Devil dan Ikan Bakar Berempah yang diperkenalkan oleh kaum Portugis. Masyarakat Cina, India, Baba-Nyonya juga terkenal dengan masakan mereka yang penuh keunikan. Walaupun dikenali sebagai sebuah negeri bersejarah, Melaka masih boleh berbangga dengan keunikan dan kepelbagaian masakannya. Kesemua makanan ini boleh dinikmati di pelbagai jenis restoran, gerai-gerai makan dan kedai kopi di seluruh negeri Melaka.

Bagi mereka yang menggemari ikan bakar selera Melaka bolehlah menikmati kelazatan ikan bakar yang pastinya melazatkan dengan hidangan pelbagai rasa disamping menikmati pemandangan laut yang cantik dengan dialunkan oleh desiran ombak yang mengasyikkan.

Medan Ikan Bakar Serkam terletak berhampiran dengan Masjid Jamek Serkam iaitu 30 km dari Bandar Jasin. Waktu perniagaan bermula daripada pukul 3 petang hingga 2 pagi pada setiap hari. Di medan ikan bakar Serkam ini terdapat gerai yang menjual pelbagai barangan cenderahati dengan harga yang berpatutan.

Medan Ikan Bakar Umbai pula terletak kira-kira 32 km dari Bandar Jasin. Disini terdapat deretan kedai makan di sepanjang persisiran pantai yang menjual pelbagai jenis makanan. Hidangan utama disini adalah ikan bakar yang pastinya menyelerakan jika dimakan dengan hidangan makanan sampingan. Di Medan Ikan Bakar Umbai ini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur bagi menggalakkan kedatangan para pengunjung.

Pulau Besar Melaka

Pulau Besar ialah sebuah pulau di luar pantai Melaka. Banyak lagenda dikaitkan dengan pulau ini. Pulau Besar dari jauh kelihatan seperti seorang wanita hamil yang sedang berbaring.

Pulau Besar dikatakan penuh dengan keramat dan mitos yang menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara khususnya bagi mereka daripada keturunan India Muslim Malaysia dan Singapura. Ramai di antaranya datang untuk melawat keramat yang dikatakan kepunyaan Sultan Ariffin Syeikh Ismail. Di sini juga terdapat beberapa kubur lain seperti Makam Tujuh Beradik dan Makam Nenek Kebayan.

Di puncak tertinggi di pulau ini terdapat sebuah Batu Belah yang selalu dikunjungi oleh pelancong. Pulau ini dianggap agak suci oleh orang-orang tempatan dan pelancong dinasihatkan untuk berkelakuan baik apabila berada di pulau ini.

Terdapat hotel dan gerai-gerai yang disediakan bagi pelancong agar mereka dapat menikmati pantai yang cantik dan pemandangan yang indah.

Para pengunjung yang ingin melawat ke Pulau Besar boleh menaiki bot yang disediakan di jeti Anjung Batu, Umbai.

Monday, April 6, 2009

LOGO DAN LATAR BELAKANG SUKMA XIII, MELAKA 2010

LOGO Rekabentuk logo yang dihasilkan adalah berbentuk haiwan yang terkenal pada zaman dahulu iaitu Kancil atau nama saintifiknya Tragulus Napu adalah haiwan mamalia yang sangat sinonim dengan hikayat melayu.
Rupa haiwan ini seakan-akan tikus dan pelanduk dengan panjang 76 sentimeter dan ketinggian 33 sentimeter dan mempunyai berat 8 kilogram.
Bulu badan haiwan ini berwarna coklat keemasan dan mempunyai kaki yang runcing dengan mata yang besar serta memiliki sepasang taring.
KONSEP SUKAN MALAYSIA merupakan satu pertandingan sukan yang dianjurkan bersama oleh berbagai pihak yang terlibat dalam membangunkan sukan di negara ini. Pendekatan bersepadu ini bertujuan untuk memberi peranan pihak-pihak berkenaan iaitu agensi kerajaan, persatuan-persatuan sukan serta pihak swasta untuk melaksanakan program pembangunan sukan supaya tanggungjawab ini dapat dilaksanakan bersama.
SUKAN MALAYSIA dianjurkan seolah ’Mini Olimpik’ kerana bilangan jenis sukan yang terlibat serta penyertaan adalah sangat besar malahan ia lebih ramai dari Sukan SEA.
OBJEKTIF UTAMA
1. Mencungkil bakat muda.
2. Pembinan kemudahan baru & peralatan lengkap bagi negeri tuan rumah.
3. Latihan kepada pegawai sukan peringkat negeri/kebangsaan.
4. Penglibatan oleh pihak kerajaan, pertubuhan sosial, politik & pemimpin-pemimpin korporat.
5. Mewujudkan integrasi nasional.